Ada berani Cukur kelopak mata?

CHENGDU: SEORANG tukang gunting rambut jalanan China menawarkan lebih daripada sekadar perkhidmatan merapi rambut.

Xiong Gaowu, 62, di Chengdu turut menyediakan perkhidmatan mencukur kelopak mata secara tradisional buat pelanggannya.

“Ia perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati,” kata Xiong yang melakukan pencukuran kelopak mata sejak hampir 40 tahun lalu.

Pelanggan yang mendapatkan khidmat Xiong yakin dengan kemahiran yang dipelajarinya itu sejak 1980.

“Tidak, ia tidak membahayakan. Mata saya kembali segar selepas bercukur dan saya rasa sangat selesa,” kata seorang pelanggan Zhang Tian, 68.

Menurut Xiong, dia memberikan perkhidmatan kepada purata lapan pelanggan setiap minggu.

Setiap perkhidmatan mencukur kelopak mata dikenakan bayaran sebanyak ¥80 (RM49).

Sementara itu, menurut seorang pakar mata Qu Chao, teknik yang dilakukan Xiong mungkin menanggalkan kelenjar kelembapan di sepanjang kelopak mata.

“Pesakit akan rasa mata mereka kering dan tidak selesa apabila kelenjar tersekat. Apabila Xiong mencukur bahagian itu, kemungkinan besar dia mencukur bukaan pada kelenjar itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata teknik itu mempunyai risiko jangkitan kuman jika peralatan yang digunakan tidak bersih atau tidak disterilkan.

“Jika Xiong betul-betul mensterilkan bahan-bahan yang digunakan, saya nampak potensi teknik tradisional ini akan bertahan lama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *